Kamis, 26 Maret 2009

Singkawang kota sejarah



Singkawang kota penuh sejarah



By Rozanna Rony


Singkawang terletak di Kalimantan Barat, kira-kira 145 km dari ibu kota propinsi Pontianak. Ia boleh dihubungi melalui darat atau laut melalui pelabuhan Singkawang.

Tempat ini menjadi lebih strategik untuk perkembangan sebagai pariwisata (pusat pelancongan) kerana terbuka bagi interaksi antar pulau, bahkan interaksi dengan dunia internasional di rantau Asia Pasifik.

Singkawang terbahagi kepada lima daerah, iaitu Singkawang Tengah, Singkawang Barat, Singkawang Timur, Singkawang Utara dan Singkawang Selatan.

Nama unik kota ini mempunyai beberapa asal-usul. Ada yang mengatakan nama Singkawang diambil dari nama tanaman ‘Tengkawang’ yang terdapat di wilayah hutan tropika.

Dalam versi orang-orang Cina pula, yang lebih dikenali sebagai orang Tionghoa, Singkawang berasal dari perkataan ‘San Kew Jong’ (Gunung Mulut Lautan). Ia bererti tempat yang terletak di kaki gunung menghadap lautan.

Dari beberapa catatan sejarah, Singkawang mulai dikenali oleh orang Eropah sejak tahun 1834. Bukti ini didapati dalam buku tulisan George Windsor Earl berjudul ‘ The Eastern Seas’, yang menyebut nama kota ini dengan ‘Sinkawang’.

Pada masa itu, Singkawang lebih dikenali sebagai daerah koloni Cina kerana kongsi-kongsi penambang emas berkuasa, dan menjadikan Monterado sebagai pusat pentadbiran mereka. Mereka dikatakan dipimpin oleh seorang yang bernama Kung She. Mengikut sejarah, ketika era penambangan emas di Monterado sedang berkembang, banyak pekerja diambil dari China.

Sebelum pekerja lombong emas itu ke Monterado, mereka terlebih dahulu singgah di Singkawang sebelum meneruskan perjalanan. Malah, pekerja yang telah lama bekerja di lombong emas akan singgah juga di Singkawang.

Selain itu, terdapat catatan lain yang diperolehi dari tulisan G. F. De Bruijn dalam buku De Volken Van Nederlandsch Indie (1920) berjudul, ‘De Maleiers’. Terjemahannya berbunyi: ‘… beberapa puluh mil disebelah kerajaan (Sambas) dibangun sebuah kota yang dijadikan sebagai kota pemerintahan oleh pihak Belanda…’.

Singkawang juga pernah menjadi sebahagian dari kerajaan Sambas, tetapi pemerintahan kukuh raja-raja Sambas mengakibatkan Singkawang belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat pelabuhan. Ini kerana Sambas sendiri telah memiliki pelabuhan yang cukup baik dan lengkap pada masa itu.

Pada tahun 1891, Belanda mulai meluaskan pengaruhnya di luar Jawa temasuk ke Singkawang, kerana ia berdekatan dengan kawasan pantaiu dan dapat dimanfaatkan sebagai kawasan perdagangan. Ketika itu juga, Singapura membangun sebagai sebuah pelabuhan dan menjadi pintu gerbang utama setelah pembukaan terusan Suez, dan Singkawang mula dibangunkan sebagai sebuah pusat pelabuhan.

Pelabuhan itu telah disiapkan dengan bantuan agen Konijnlik Peketvaart Maatschappij (KPM) dan juga pihak Belanda membina jalan raya pada 1912 yang melalui kawasan Pemangkat, Singkawang dan Bengkayang.

Pada waktu itu juga pihak Belanda telah mengeluarkan kenyataan yang ditulis pada 1938, dan dikeluarkan oleh Gabenor Belanda yang memutuskan bahawa kawasan Borneo sebagai kawasan pentadbiran dengan kawasan Banjarmasin sebagai ibu kota.

Kawasan pentadbiran di Kalimantan telah dibahagikan kepada dua residen, satu di selatan dan satu di timur, iaitu residen Kalimantan Barat di Pontianak.

Hari ini, sempadan Singkawang terkenal sebagai tempat wisata masyarakat Kalimantan. Ia mempunyai sempadan dengan Laut Natuna di sebelah barat, sebelah timur dan selatan terdapat Gunung Raya, Gunung Pasi dan Gunung Poteng serta Gunung Roban, sedangkan di dalam kota ia dialiri sungai Singkawang yang bermuara ke laut Natuna.

Majoriti penduduk di Singkawang adalah orang Melayu, Cina (Tionghoa) dan Dayak. Kota ini juga terkenal sebagai Hong Kong Indonesia, kerana orang Tionghoa sebanyak 42 peratus dari jumlah penduduk Kota Singkawang. Malah, masyarakat Tionghoa menggunakan bahasa Khek (Hakka) sehingga jika seseorang itu berada di Singkawang rasa seperti berada di Hong Kong.

Pengunjung asing yang berminat untuk ke sini bolehlah menggunakan pesawat ke Pontianak. Dari lapangan terbang (bandara) Supadio, Pontianak boleh menggunakan teksi yang ada di sini atau perusahaan taxi (angkutan sewa khusus), yang memang sentiasa membawa pengunjung dari Pontianak ke Singkawang.

0 komentar: